Friday 8 April 2011

PENUBUHAN SURUHANJAYA DIRAJA

2011/04/08
PUTRAJAYA: Kerajaan akan menunggu hasil siasatan polis sebelum mempertimbangkan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rakaman video seks melibatkan pelaku mirip Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

"Kabinet hari ini mengambil keputusan untuk menunggu hasil penyiasatan polis dahulu yang bukan sahaja melakukan siasatan tentang ketulenan video itu tetapi mengenal pasti siapakah pelaku di dalam video itu," katanya hari ini.

Nazri berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja itu sekiranya terdapat pertikaian daripada hasil siasatan polis.

Pada Rabu lalu, beliau berkata penubuhan suruhanjaya itu perlu disegerakan berikutan penafian isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang suaminya itu adalah lelaki dalam video berkenaan.

Nazri berkata bahawa setelah penafian itu dibuat, rakyat mempunyai hak untuk mengetahui sama ada benar atau tidak Anwar adalah lelaki dalam video itu. "Dan penyelesaian terbaik bagi isu itu adalah dengan menubuh suruhanjaya diraja," katanya.

Nazri berkata usul untuk menubuhkan suruhanjaya itu dibuat kerana kerajaan mendengar pandangan rakyat dan juga badan bukan kerajaan termasuk Dewan Pemuda PAS yang menyeru agar sebuah suruhanjaya diwujudkan bagi menangani isu itu. - BERNAMA
Sumber Berita Harian



No comments:

Post a Comment

Komen yang di berikan hendaklah bersandarkan etika dan berhemah dalam menyampaikan pendapat sdra/sdri. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab diatas komen yang dibuat melangkaui batas batas susila dan undang undang.